Ucapan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak dari
Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Friday, 21 August 2009
Friday, 21 August 2009
Dengan tibanya Ramadan, saya mengucapkan kepada semua masyarakat Islam di mana sahaja mereka berada, selamat menyambut bulan yang diberkati untuk berpuasa, beramal dan menyucikan diri. Bila saya merenungkannya kembali semalam, saya benar-benar kagum dengan kemeriahan sambutannya di seluruh dunia – hampir 1.4 bilion umat berpuasa dan beribadat di seluruh dunia bersempena dengan bulan yang mulia ini. Kita harus sedar bahawa ini adalah peluang untuk memperlihatkan semangat Islam yang sebenar kepada rakan-rakan bukan Muslim kita. Apabila beduk dibunyikan, menandakan waktu berbuka, kita seronok bersama-sama sahabat handai, keluarga dan rakan sekerja untuk berbuka puasa. Saya masih teringat, waktu kecil-kecil dahulu, bau menyelerakan daripada masakan yang disediakan dan kegembiraan berada bersama-sama mereka yang akan berbuka. Setiap tahun, saya dan isteri sentiasa menunggu-nunggu untuk menerima jemputan berbuka puasa yang banyak dianjurkan di seluruh negara. Pada hari pertama Ramadan, saya akan berbuka puasa dan bertarawih bersama keluarga, tetapi hari-hari berikutnya saya merancang untuk berbuka bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara. Berkumpul beramai-ramai dengan perasaan muhibah itulah yang sentiasa kita jaga dan hargai, namun janganlah sampai kita lupa akan makna sebenar Ramadan kepada setiap Muslimin. Kita memohon ke hadrat Allah agar membimbing kita ke arah amalan yang terbaik dan agar menerima ibadah dan puasa kita. Ramadan juga adalah bulan untuk bersedekah. Saya menggalakkan sesiapa yang berkemampuan untuk melebihkan sedekah mereka pada tahun ini. Sewajarnya kita memenuhi tanggungjawab ke atas limpahan rezeki yang diterima dengan membantu mereka yang memerlukan di kalangan kita. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik. Kegawatan ekonomi telah mengundang musibah yang membebani ramai daripada rakan taulan dan jiran kita. Saya sering memikirkan akan keberkesanan kesan hasil daripada tindakan bermurah hati dan perhatian yang diberikan ke atas mereka yang kurang bernasib baik. Fikirkan manfaatnya jika kita berusaha untuk mengembangkan sifat dermawan tersebut di sepanjang tahun. Ramadan ialah waktu untuk meningkatkan kerohanian dan persaudaraan yang hebat, begitu juga dengan Malaysia yang mampu menjadi sebuah negara yang bebas dari kemiskinan jika kita komited untuk melakukannya.Saya amat menyanjungi kemesraan dan keakraban yang dikongsi oleh semua rakyat Malaysia pada bulan Ramadan. Setiap tahun saya akan memerhatikan bagaimana rakan-rakan Cina dan India kita menikmati waktu berbuka puasa bersama-sama kita. Sama ada bersesak-sesak di gerai-gerai makanan, di rumah atau makan malam di salah satu bufet yang banyak terdapat di mana-mana sahaja, mereka yang bukan Islam di seluruh Malaysia berkongsi keramahan rakan Muslim mereka. Saya benar-benar tersentuh dengan sikap mereka yang hormat menanti waktu azan dilaungkan dan solat dilakukan sebelum mula menjamu selera. Ini adalah contoh yang baik bagaimana menghargai dan meraikan kekayaan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama di Malaysia dan perpaduan kita sebagai satu bangsa.
Kepada umat Islam di seluruh dunia, "Selamat Menunaikan Ibadah Puasa".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan